Saya tidak pernah ingat saat pertama, hari pertama, saya mengucap dua kalimah syahadah; tidak pula pernah ingat bilakah saya pertama kali mendirikan sembahyang. Tetapi saya masih terbayang-bayang kali pertama terlibat dengan usrah – pintu masuk ke dunia aktivisme dakwah.
Hari itu, di surau sekolah pada suatu petang, ketika saya di Tingkatan Tiga, seorang teman mengundang saya menyertai diskusi tentang Islam. Tanpa mengetahui atau mengesyaki apa-apa, saya malu alah pergi juga – dan dengan tergagap-gagap berkata sesuatu tentang teks yang dibincangkan itu. Seingat saya ada lagi beberapa pelajar senior – seorang dua masih berbekas dalam ingatan saya tetapi kini entah di mana mereka saya tidak pasti.
Bukunya tidak lain tidak bukan Maza Ya’ni Intimai al-Islam atau bahasa Melayu, Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Fathi Yakan. Buku ini masih disebut-sebut dan dikagumi orang, hairan entah kenapa ia boleh menjadi semacam bible atau Das Capital-nya usrah.
Tentulah teks seberat itu, di hari pertama usrah umum, sesiapa sahaja akan tergagap-gagap. Tetapi saya gugup bukan kerana besar atau kompleksnya teks itu tetapi kerana memang tidak mudah rupa-rupanya untuk bercakap di depan ramai orang – apatah lagi mereka sedang memerhatikan kita, menunggu lontaran buah-buah fikiran kita atau sedang membaca di mana kelemahan jalan fikir kita agar mudahlah proses indoktrinasi dijalankan kemudian.
Ya, tentunya senang menyebut “proses indoktrinasi” sekarang, selepas 24 tahun peristiwa berusrah saya tinggalkan. Tetapi saat itu, sebagai budak mentah berusia 15 tahun yang bakal menduduki SRP, saya berdepan dengan Islam seperti seorang Melayu yang sudah sebati dengan agamanya sebagai sebahagian budaya dan sistem sosial di sekelilingnya. Islam sebagai agama yang perlu dipelajari dan dihayati. Bukan Islam, atau anutannya, sebagai bahan kritik seperti saya melihatnya saat ini.
Perkenalan pertama itu dengan Fathi Yakan menghanyutkan saya dalam buah-buah fikirannya, termasuk Generasi Muda dan Perubahan (Asy-Syabab wa Taghyir), Bagaimana Menyeru Kepada Islam (Kaifa Nad’u ilal Islam) atau Masalah Dakwah dan Pendakwah (Musykilatul Dakwah wa Da’iah).
Selain Dr Fathi Osman dengan majalah Arabia-nya, yang saya kenali selepas tahu membaca teks Inggeris, barangkali nama pena saya kini tercipta gara-gara kekaguman pada Fathi Yakan – saya dipropagandakan beliau sebagai seorang jurutera tetapi fasih dengan pengetahuan agama dan seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin.
Tidak semua pelajar senior yang bergiat bersama usrah waktu itu saya ingat hingga kini tetapi semua teman Tingkatan Tiga yang kekal berusrah sehingga Tingkatan Lima di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri asal saya masih berbekas dalam ingatan. Dan masih akrab walaupun jauh – seperti jauhnya lagu Zainal Abidin dalam album Hijau. Waktu itu darah muda, idealisme dan semangat membuak-buak, keghairahan membaca dan mendalami agama melalui usrah sayangnya tidak dipandukan oleh seorang guru, atau ustaz, yang sistematik. Jadi, usrah kami waktu itu sering menjadi diskusi di kalangan teman-teman ini, selain berbekalkan kuliah agama, kaset ceramah dan perkongsian (juga perdebatan) tentang agama dan politik nasional (juga gerakan pelajar Islam) era 1983-85.
Tidak sama dengan teman-teman seangkatan kami di sekolah-sekolah berasrama penuh lain – waktu itu menjadi sasaran utama gerakan IRC selepas ABIM mulai melemah gara-gara kemasukan Anwar Ibrahim dalam Umno, manakala PAS pula belum membuka sayap pelajarnya tersendiri – yang dibimbing oleh seseorang guru yang mengajar di sekolah mereka sendiri, kami berhubung dengan beberapa teman dalam ABIM Terengganu.
Khabarnya ABIM Terengganu saat itu berjaya disusupi oleh anasir-anasir IRC untuk memanjangkan perjuangan ala Ikhwanul Muslimin mereka. Entahlah, begitulah saya dimaklumlah dan begitulah debat (sebetulnya persaingan dan perebutan pengaruh) yang berlangsung pada tahun-tahun seterusnya sehingga saya meninggalkan dunia pelajar dan kemahasiswaan, penghujung 1991.
Sama ada tersengih, tersipu atau berdendam, hakikatnya dunia dakwah yang kami kenali dalam tempoh itu – dalam semua pergerakan Islam, termasuk PAS – dunia hingusan dan “syok sendiri” yang dipam masuk oleh kenyataan dan analisa teman-teman yang lebih senior. Dua puluh tahun saya melihat ke belakang, ternyata benar juga kenapa orang muda awal-awal menyokong Hitler dan anak-anak mentah satu-satunya kelompok manusia yang masih setia kepadanya pada jam-jam terakhir rebahnya pemimpin Nazi itu.
Barang kali apa yang tercatat dalam Generasi Muda dan Perubahan ada benarnya di sana-sini atau, dengan ungkapan lain, kalau kita ingin menyesatkan sesuatu masyarakat, sesatlah generasi mudanya!
Tidaklah ingin saya membayangkan usrah itu sama dengan Hitlerisme atau kesesatan. Tetapi strategi mengepung fikiran pengikut, mengepam mereka dengan yang muluk-muluk, menanam dogma ke dalam fikiran mereka, mengapung perasaan “syok sendiri” dalam semangat kekitaan jemaah Islam – dalam imbasan saya saat ini, sewaktu usia sudah menjangka 39 tahun – tidak jauh bezanya dengan Hitlerisme atau kediktatoran di mana-mana jua, di zaman apa pun.
Dan tentunya sewaktu kita berada di tengah-tengah khayalannya kita tidak mungkin menyedari betapa buruknya ia berkembang dan betapa kejinya ia diizinkan berkembang.
Hakikatnya, saat ini, saya menyedari semua kepungan fikiran rupa-rupanya sejenis jenayah kemanusiaan yang maha besar – barangkali seumpama genocide di Rwanda atau Balkan, cuma bezanya dua tragedi ini menzahirkan mayat-mayat bergelimpangan; usrah menyembunyikan mayat, sebaliknya melahirkan zombie!
Saya tidak kecewa dengan usrah, jangan salah faham. Saya menikmati setiap saat dan ketika bersama usrah, teman-teman dan aktivisme pelajar dakwah. Ia banyak mengajar dan mematangkan. Kurang lebih 10 tahun, ia ibarat kem latihan yang ketat, padat dan menggetarkan idealisme. Ia menyeret saya ke sebuah dunia aktivisme (dengan khayalnya tersendiri) hingga saat-saat menulis catatan ini.
Kritik di atas tadi sebetulnya dalam konteks sistem berfikir aktivis Islam (dan kini mungkin aktivis politik, orang seni, intelektual dan NGO juga) vis a vis tanggapan mereka tentang dunia, perubahan sosial dan dunia kecil mereka. Pengalaman bersama usrah dengan putih, kelabu dan hitamnya sendiri ibarat sebuah kampus awal untuk meneroka dunia dewasa yang lebih mencabar – tetapi, pastilah, semua pengalaman itu harus diproses kembali untuk dijadikan teladan atau sempadan.
Entah mengapa dan bagaimana, idealisme pada saya menjadi bahan bakar pemberontakan pula. Memberontak pada idealisme yang kaku, tohor dan tidak memuaskan kedahagaan cendekia. Memberontak pada dinding kaca – kemilau di luar, terpenjara di dalam. Jadi, di celah-celah retak kaca itu tenaga pemberontakan saya mengalir di penghujung 1980-an dan diasah awal 1990-an, khususnya sewaktu mengendalikan majalah Perspektif terbitan JIM. Dan, pastilah bukan saya sendirian, semua teman yang kritikal akan mengalami “krisis ini”.
Dan celakanya separuh kedua dekad 1980-an membuka lebar retak-retak idealisme itu apabila semua gerakan Islam – di kampus khususnya, termasuk luar negara – bercakaran sesama sendiri, termasuklah melupakan segala adab dan idealisme Tuhan yang mereka agung-agungkan itu. Sebagai makhluk kritikal, saya berusaha sekuat mungkin untuk berdiri di pinggir perang besar itu.
Dan, jika dirujuk teman-teman lama, saya kira saya berjaya berdiri sebagai by-stander, bukan pahlawan-pahlawan perang antara jemaah. Rekod saya – sepanjang perang ini, dan sepanjang era usrah – kalau mahu dibanggakan boleh disebut “bersih”, kalaupun enggan disebut “cemerlang.” Saya tidak menyimpan rekod itu, teman-teman yang menyimpannya dan merekalah yang berhak menilainya.
Dan mungkin sikap itu terbawa-bawa hingga kini dalam aktivisme menentang kuasa politik dan sistem karut yang ditimpakan ke atas kita semua; sikap untuk menentang “musuh bersama”, musuh utama dan terbesar, yang tercokol di depan kita semua dengan melupakan, atau meremehkan, titik bengik yang melingkari kiri kanan kedewasaan aktivisme.
[ii]
Mungkin (ulang: mungkin) manusia paling bodoh itu manusia yang tidak rancak berfikir. Yang kedua terbodoh, manusia yang tidak membaca buku, sementara tempat ketiga jatuhnya kepada manusia yang tidak luas pergaulan dan beragam diskusinya. Dan ketiga-tiganya ada pada manusia usrah dan jemaah Islam yang saya kenali!
Jika gejala ini sejenis paradoks – beginilah paradoks, satu-satunya, yang berjaya saya cungkil sepanjang 10 tahun berusrah dan bergerak dalam gerakan pelajar dakwah; dan selebihnya politik kepembangkangan, kewartawanan dan aktivisme era Reformasi 1998-99. Dan lebih parah daripada segala paradoks ini, keyakinan kita untuk menyebarkan dan melaung-laungkan kebodohan kita di depan masyarakat dengan rasa penuh yakin dan bangga!
Tidak lama selepas karya-karya Fathi Yakan, saya diperkenalkan pula dengan karya-karya al-Maududi (khususnya Fundamentals of Islam atau edisi terjemahan serpihannya, Iman, Islam, Jihad), Hassan al-Banna (Usul 20 dan Dakwah Kita), Syed Qutb (Petunjuk Sepanjang Jalan, Keadilan Sosial dalam Islam atau sebahagian Fi Zilalil Quran), Yusuf Qardhawi (Problema Kemiskinan), Muhammad Qutb (Salah Faham Terhadap Islam), Mustafa Masyhur (Petunjuk Sepanjang Jalan Dakwah), Said Hawwa (Risalah Ufuk Ta’lim atau terjemahan Jundullah: Thaqafatan wa Akhlakan) dan juga Abu Urwah (Risalah Usrah edisi pertama), selain makalah-makalah terbitan persatuan-persatuan mahasiswa universiti, termasuk PMUTM sewaktu Ahmad Lutfi Othman memegang jawatan setiausaha agungnya.
Kalaulah saya mengadakan usrah hari ini, saya haramkan buku-buku ini kepada anak-anak usrah saya.
Mereka sepatutnya membaca Syed Hussein Alatas (Intelektual Masyarakat Membangun atau Sosiologi Korupsi), Goenawan Mohamad (siri Catatan Pinggir), John Stuart Mill (On Liberty), George Orwell (Nineteen Eighty Four), Jean Paul Sartre (The Age of Reason), Alvin Toffler (Future Shock atau Third Wave), Majid Fakhry (A History of Islamic Philosophy), Bertrand Russell (A History of Western Philosophy), Friedrich August Hayek (The Counter-Revolution of Science: Studies on the Abuse of Reason), Seyyed Hossein Nasr (Science and Civilization in Islam atau Traditional Islam in the Modern World), Osman Bakar (Classification of Knowledge in Islam), Shaharir Mohammad Zain (Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik), Syed Naguib al-Attas (Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu) dan beberapa karya tokoh pemikir dan ahli politik tempatan. Mungkin buku Dr Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah, boleh dibaca dan relevan untuk “usrah baru” saya nanti.
Mungkin, selepas sekian lama berusrah, anak didik saya ini akan terkhayal dengan bahan-bahan diskusi yang ditelaah mereka dan mula berlagak sebagai “intelektual muda” dengan istilah-istilah ganjil dan “moden” untuk menakut-nakutkan sasaran sembang mereka. Tetapi, lebih baiklah berlagak dengan gaya ini daripada tidak sedar diri menjual kalimah-kalimah orang Arab, sesekali memetik al-Quran atau hadis, yang sudah basi dan tidak relevan dengan zaman dan geografi kita!
Kalau mahu jenama import, pastikan yang bermutu dan tahan lama.
[iii]
Jika kita selongkar usrah dan tinggalkan rangka diskusinya, di beberapa sisi, usrah tidak ubah sembang warung atau kelas tutorial di kampus. Mungkin elemen kerohaniannya masih relevan dan perlu tetapi, isu yang bergelut dalam benak saya selama ini, kenapa dinamika diskusi – yang seharusnya rancak, beragam, pelbagai hala, dan kritikal – boleh menjadi medan pembekuan, penggelapan dan kesehalaan manusia jemaah Islam?
Salah naqib atau naqibah? Atau salah teks usrah? Atau sesi kerohanian yang bersifat tradisional dan “menyeramkan” jiwa? Atau, memang ahli-ahli usrah itu asalnya "manusia terbuang", berasal dari kampung dan mempunyai low self-esteem, yang tidak berbakat – lalu mereka menjadikan usrah, serta gerakan Islam, tempat melarikan diri daripada ketewasan sosial?
Kenapa usrah melahirkan “sejenis manusia” tertentu – yang berjarak dengan manusia di sekeliling mereka? Dan apakah penyebab yang menjadi mereka “sejenis manusia” tertentu dan apakah faktor yang mendorong penjelmaan paradigma kumpulan seumpama itu – apakah ia diakibatkan oleh tarbiyyah Islamiah yang mereka alami, dengan versi-versi Islam haraki tertentu, atau mereka sendiri yang membentuk usrah dan gerakan Islam sedemikian rupa?
Di saat-saat saya mula bertindak merenung kembali persoalan ini, sewaktu masih lagi terlibat dengan program-program usrah dan aktivisme pelajar dakwah antara 1986-91, saya telah cuba menjawabnya dalam beberapa tulisan dan cuba menawarkan pemecahan masalahnya – khususnya bulan-bulan terakhir saya meninggalkan ITM Arau. Saya sediakan beberapa sukatan usrah, teks rujukan dan beberapa analisa politik kampus yang membolehkan positioning dan re-branding beberapa kelompok usrah gerakan pelajar dakwah, yang dekat dengan saya (tentunya!), dalam konteks ini yang ada hubungannya dengan IRC atau kini boleh disebut JIM.
Kerana kebetulan waktu itu, sejak di sekolah hingga ke kampus, usrah dan gerakan usrah kami yang bersifat “bawah tanah” tidak pernah mempunyai tapak yang kukuh dan mantap – tidak seperti kumpulan siswa IRC di beberapa universiti lain atau gerakan pelajar bawah sayap PAS dan ABIM yang mempunyai payung organisasi, dan sifat politik, yang jelas dan besar. Mungkin, sifat pergerakan IRC atau JIM, yang lebih junior berbanding dua organisasi itu menjadikan usrah kami seumpama itu. Entahlah, saya tidak mempunyai jawapan tentang itu semua.
Jadi, pendewasaan saya dengan Islam dan gerakan Islam, bukanlah semata-mata kesan ketundukan saya pada idealisme kelompok tetapi pertarungan (atau pemberontakan?) yang berterusan untuk memperbaiki keadaan yang, saya fikir, tidak sesuai dengan persekitaran dan cabaran yang melingkungi gerakan Islam dan idealisme mereka.
Artikel-artikel yang muncul kemudian, khususnya awal 1990-an, berkisar pada persoalan tersebut, persoalan yang saya geluti sepanjang dekad kedua 1980-an. Tentunya, ada nada keras dan geram akan tertonjol dalam catatan-catatan tersebut kerana penulis berdepan dengan sekumpulan besar manusia yang tidak mempedulikan kritikan.
Saya masih ingat artikel saya tentang ketaksuban pada "Ikhwanisme", yang terbit di majalah Dunia Islam (sekarang sudah tidak beroperasi), mengundang amarah teman-teman senior di kampung.
Yang mereka, seperti kerajaan atau parti pemerintah, fikirkan hanyalah memanjangkan hegemoni mereka dan melanjutkan paradigma mereka – sehingga selepas sekian lama meninggalkan usrah, saya dapat rasakan betapa meluasnya paradigma itu (yang berbau keislaman) telah tersebar dalam masyarakat kita, seolah-olahnya semua mereka pernah menyertai usrah!
Tradisi, organisasi, konvensi atau birokrasi memanglah sejenis gergasi gendut yang sukar berubah atau diubah. Ia sukar menyesuaikan diri kecuali di ruang-ruang yang menguntungkannya. Ia boleh menukar wajah dan slogannya tetapi mengekalkan intipati ajarannya yang membebalkan – “bebal” pada istilah seseorang yang mengkritiknya!
[iv]
Tidak lama selepas Saari Sungib, atau Abu Urwah, dibebaskan daripada tahanan ISA pada pertengahan 2003, saya diundang berceramah secara tertutup bersamanya di dua tempat – satu di Shah Alam di kalangan ahli JIM yang boleh saya katakan kelas menengah dan profesional; satu lagi di Bangi di kalangan mahasiswa.
Dan sekali lagi, igauan ngeri saya tentang usrah, aktivisme dakwah dan gerakan Islam singgah di benak saya ketika itu dan beberapa ketika selepas pertemuan itu.
“Igauan ngeri” saya katakan kerana pertemuan itu membongkar (sekali lagi!) kritikan-kritikan lama saya tentang kelemahan, kedangkalan dan kesempitan manusia usrah walaupun mereka itu datangnya daripada kelas menengah, sebahagiannya mungkin boleh berbahasa Inggeris dan bergaul dengan manusia profesional dengan bermacam-macam latar belakang, yang seharusnya mempunyai analisa atau maklumat jelas tentang pergolakan zaman ini – spirit of the age atau zeitgeist.
Oh, tidak! Ia seperti kembali ke penjara gelap apabila mendengar pertanyaan-pertanyaan mereka dan juga analisa-analisa yang dibentangkan kepada kami berdua. Terus-terang, saya tidak sabar berdepan dengan kelompok manusia seumpama ini dan saya bukanlah guru yang baik untuk mendidik orang-orang tua yang telah jauh disesatkan oleh usrah, aktivisme dakwah dan gerakan Islam. Saya kira (ulang: kira) untuk bersembang di warung sekali pun saya sudah tidak sabar lagi – ia begitu menjemukan, berpura-pura, saduran dan plastik (dengan maksud, tidak real).
Barangkali penyakit “manusia usrah” ini bukanlah sepenuhnya gejala yang ditimbulkan daripada indoktrinasi program mingguan itu dan kegiatan-kegiatan susulan dalam gerakan dakwah. Mudah untuk disebut, “manusia usrah” ini gejala yang kompleks – dengan simpang perenangnya di luar lingkungan tersebut.
Sekali imbas, manusia usrah ini “manusia Melayu”, “manusia muslim” dan “manusia Malaysia” dengan segala kemelayuannya, kemuslimannya dan kemalaysiaannya – merojakkan segala kelemahan Melayu, muslim dan Malaysia (3M?) dalam satu pinggan yang dinamakan usrah, aktivisme dakwah dan gerakan Islam. Semua daki-daki kotor 3M itu gagal dicucikan, dipalitkan pula dengan indoktrinasi usrah yang dibaurkan dengan teori perubahan sosial ala gerakan Islam.
Mungkin 3M inilah matriks usrah yang mudah kita bicarakan. Pierre Bourdieu, dalam bukunya Language and Symbolic Power (2001) membawa rumusan ini, [(pembentukan diri)(modal)] + (medan) = amalan atau [(habitus)(capital)] + (field) = practice.
Mungkin memerlukan kajian mendalam, dari pengamal usrah sendiri, untuk membedah siasat gejala tersebut yang telah melahirkan – pada tanggapan saya – “manusia usrah” dengan segala keburukan 3M.
[v]
Ketika bertugas di ibu pejabat JIM awal 1990-an, waktu itu belum berpindah ke pejabat sekarang di Taman Melawati, saya perasan tidak ramai anggota pertubuhan ini aktif atau jika aktif, tidak berbakat untuk kerja-kerja sosial; sebahagian besar – akibat usrah, saya fikir – ingin menjadi “manusia baik” sahaja.
Baik pada diri sendiri, pada orang tua mereka atau pada keluarga kecil mereka. “Baik” dengan erti kata dormant, tidak bernas dan tidak membiak. “Baik” dengan erti kata dapat membetulkan bacaan al-Quran mengikut tajwid, dapat menghafal beberapa kalimah al-Quran dan beberapa hadis, dapat mengutip pesan-pesan daripada para pemimpin dan buku teks dakwah, dapat menuturkan beberapa patah Arab – sekadar cukup membezakan, bukan mengayakan, pengalaman hidup sendiri dengan masyarakat di sekelilingnya.
Mungkin kata “dormant” di sini lebih sopan daripada ungkapan “manusia tidak berguna” dalam buku Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun. Jika usrah boleh disebut “dosa”, mungkin inilah satu daripada dosa-dosanya – melahirkan manusia “tidak berguna”, selain mendangkalkan manusia dalam kelemasan ideologi yang dinamakan “Islam haraki.”
Beberapa teman senior, waktu itu, yang lebih lama berusrah di luar negeri ketika di alam kuliah masing-masing mengemukakan “teori” bahawa gejala dormant yang sama juga merebak dalam ABIM dan PAS. Kata mereka, lebih kurang 10 peratus sahaja ahli JIM dan organisasi-organisasi tersebut aktif – mengesahkan lagi pemerhatian saya sepanjang terlibat dengan gerakan pelajar dan mahasiswa.
Jadi sewaktu diberitahu gerakan Islam sekarang makin sukar mencari pemimpin pelapis mereka, baik dalam PAS, ABIM atau JIM – saya tidaklah hairan. Malah, rungutan saya sejak hampir dua dekad lalu, itulah kebimbangan saya. Tetapi sebagai “gergasi gendut”, gerakan Islam memang sukar bergerak dan tenggelam punca di zaman manakah ia bertapak dan di bawah langit mana pula ia menggapai.
Kadang-kadang saya terfikir, apa yang dinamakan “usrah” tidak lebih daripada tempat pembuangan manusia yang tidak berbakat, yang tewas waktu usia remaja daripada perkumpulan sosial yang rancak, terbuka dan “social” – tidaklah pula bermakna manusia yang “social” itu berbakat dan berpengetahuan!
Jadi, di sini, timbul sekali lagi paradoks usrah: Apakah yang dilakukan oleh ruang diskusi ini sehingga proses tarbiyyah itu gagal memberi erti baru kepada manusia, ketika remaja dan belia mereka, selain memperkenalkan mereka kepada beberapa akar budaya mereka yang sangat asasi – menarik mereka kembali kepada al-Quran dan ibadat khusus?
Saya tidak mengetahui apa makna usrah kepada mereka yang masih aktif berusrah hari ini atau sedang asyik diperkenalkan dengan pertemuan mingguan itu. Tetapi bagi saya, usrah itu satu mimpi ngeri yang tidak terluahkan dengan kata-kata…
Oleh:
Fathi Aris Omar
Editor Malaysiakini
Sumber:
Mohd Norezham Che Ali
PKPIM-UIAM Kuantan
0 comments
Post a Comment